• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

‘Marang River Cruise’ Produk Baharu Pelancongan Terengganu

Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menerusi Pejabat Daerah Marang melancarkan produk pelancongan baharu di negeri itu selepas memperkenalkan pakej menelusuri Sungai Marang dari Dataran Batu Putih (DBP) terus ke Pulau Kapas.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut pastinya akan merancakkan kembali industri pelancongan domestik sejak pandemik COVID-19 melanda negara. 

"Pakej ini tercetus rentetan hasil sumbangan sebuah bot laju daripada Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd yang menjadi pemangkin yang sangat besar untuk memajukan industri pelancongan  berasaskan sungai dan laut ini. 

"Produk ini kita akan hebahkan melalui media sosial dan kemungkinan dilancarkan bersempena dengan program Jejak Budaya Marang yang akan berlangsung pada bulan September nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot oleh Pengerusi Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, Tengku Sri Temenggong Raja Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muttafi Billah Shah di sini baru-baru ini.

Tun Ahmad Faisal menerima sumbangan bot dari Tengku Sri Temenggong Raja.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan bot berkuasa tinggi itu, pihaknya berbesar hati dengan komitmen Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd apabila dimaklumkan akan potensi program menyusuri sungai dan 'floating market' di Marang.

"Penghargaan tidak terhingga kepada Terengganu Silica atas pemberian sebuah bot berkuasa 150 kuasa kuda yang membolehkan program menelusuri Sungai Marang dan terus pergi ke Pulau Kapas terlaksana.

"Uniknya pakej ini para pelancong akan memuduki Sungai Marang daripada DBP sampai di kuala Sungai Marang terus ke Pulau Kapas. Jadi ini adalah satu nilai tambah kepada pakej-pakej pelancongan yang Marang tawarkan.

"Pelancong boleh membuat tempahan dengan operator yang akan kita lantik nanti dan pakej itu merangkumi aktiviti menelusuri sungai, makan pagi di DBP sambil melihat produk-produk di sepanjang sungai Marang.

“Seterusnya ke Pulau Kapas menikmati jamuan tengah hari dan aktiviti di sana seperti snorkelling dan mandi manda sebelum pulang bergerak balik ke Marang sebelah petang itu, sebelum ini pakej-pakej begini diasingkan dengan pakej pulau dan sungai,” jelasnya.