• 17 Jul 2024 | 10 Muharam 1446

Tetamu istimewa datang lagi, tinggal di rumah kita selama sebulan.

Bulan Ramadan adalah sebaik-baik bulan untuk umat Islam menggandakan pahala dan mendapatkan bonus daripada Allah SWT.

Ramadan boleh disifatkan sebagai bulan terbaik untuk kita menanam benih amal sebelum kita menuai hasilnya di akhirat kelak, peribahasa Arab ada menyebut : "Kamu menuai apa yang kamu tabur”.

Orang yang benar-benar memanfaatkan peluang ini akan beruntung, kerana Allah SWT telah memudahkan segala urusan dan amalan dengan membelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu anak Adam.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, diikat syaitan-syaitan” - (al-Bukhari dan Muslim).

Hubungan dengan Allah hendaklah dijaga dengan sebaiknya melalui ibadat-ibadat yang telah disyariatkan seumpama melalui memperbanyakkan solat sunat seperti solat tarawih, membaca al-Quran, berzikir, qiamulail serta bersedekah.

Selain ibadat, bulan puasa mengajar kita untuk lebih berhemah dalam apa sahaja tindakan kita sama ada percakapan, perbuatan mahupun fikiran kita.

Tetapi realitinya ia sukar untuk diterjemahkan. Logiknya belanja kita boleh dikurang tetapi berlaku sebaliknya kerana asakan nafsu yang membuak setiap kali Ramadan.

Bahkan terkadang mungkin kita lebih banyak bercakap tentang aib saudara kita di bulan Ramadan tanpa menyedari ia adalah satu tegahan daripada Allah SWT.

Jangan sampai setiap kali habis Ramadan dosa kita tidak terampun, nauzubillah. Semoga Ramadan kali ini memberi seribu kebaikan untuk kita semua.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili TRDI.

 


Tag: