• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

Maritim Bantu Cari Dua Mangsa Lemas Di Marang


KUALA TERENGGANU, 26 Disember –Dua lelaki dikhuatiri lemas setelah dipercayai hilang dan lemas ketika mandi laut di dua lokasi berbeza dalam daerah Marang, petang semalam, masih belum ditemui.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya menggerakkan 20 anggota serta dua bot peronda dalam penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut.

"Setakat ini pencarian bagi kedua-dua mangsa merangkumi lima batu radius dari kawasan mangsa dipercayai lemas.

"Operasi pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang turut dibantu masyarakat setempat dalam memantau pencarian mangsa,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, nangsa pertama Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Kuala Lumpur hilang semasa mandi laut pada jam 6.42 petang semalam di sekitar pusat peranginan Pantai Kelulut, Marang.

Manakala seorang lagi mangsa, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, dari Kampung Bukit Tok Bat dikhuatiri lemas dan dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Jambu Pokok, Marang pada jam 6.33 petang.

Mangsa kedua gagal diselamatkan rakan dan orang ramai yang berada di lokasi berkenaan kerana ombak tinggi sekitar dua meter.


Tag: