• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Maritim Buat Permohonan Reman Melalui Persidangan Video

KUALA TERENGGANU, 29 Jun -  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri melaksanakan kaedah norma baharu dengan mengadakan persidangan video bagi permohonan reman 27 nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengelakan penularan Covid 19.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, kebiasaannya Orang Kena Tahan(OKT) ini akan dihadapkan ke mahkamah tetapi tangkapan ini merupakan tangkapan pertama selepas pendekatan pengusiran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebelum persidangan video ini, kesemua  tekong dan awak-awak seramai 27 orang ini telah menjalani ujian saringan Covid 19 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengambil masa sekurang-kurang empat jam untuk dapatkan keputusannya.

"Dalam tempoh tersebut, kita tidak akan bawa OKT ke lokap selagi keputusan tidak keluar, sekiranya didapati ada yang postif maka pengasingan akan kita buat dan  serah kepada KKM untuk tindakan lanjut,"ujarnya kepada pemberita di sidang media di pejabatnya hari ini.

Tambahnya lagi, para pegawai yang terlibat turut mengamalkan langkah keselamatan dengan memakai penutup muka, menggunakan sarung tangan dan pencuci tangan dalam operasi yang dilakukan sebagaimana saranan KKM.
 


Tag: