Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
Maritim Malaysia Terengganu Laksana 338 Tangkapan, Kompaun RM132 Juta Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Sejak penubuhannya dua dekad lalu (2005), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah menjalankan 43,407 pemeriksaan ke atas vesel dan bot bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, dalam proses itu sebnayak 338 tangkapan direkodkan termasuk kes pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti penangkapan ikan secara haram.
"Sebanyak 74 kes dikompaun, 264 kes didakwa di mahkamah dengan nilai denda dan kompaun melebihi RM132 juta.
"Operasi penguatkuasan kita turut membawa kepada rampasan bernilai RM11 juta serta pelupusan 181 vesel lucut hak milik nelayan asing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan khas sempena ulang tahun agensi itu ke-20 tahun, di ibu pejabat Maritim Malaysia Terengganu, hari ini.
Tambahnya, bagi tahun 2025 Maritim Terengganu akan terus melaksanakan rondaan seperti biasa dan meningkatkan tumpuan kepada kawasan -kawasan hot spot dengan fokus kepada kehadiran bot-bot nelayan asing Vietnam.
Selain tugas penguatkuasaan, menurutnya Maritim Negeri Terengganu turut berperanan sebagai penyelaras utama operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dengan kejayaan operasi terkini ialah penyelamatan mangsa bot karam di perairan Pulau Redang dan menyelamat seorang nelayan yang hilang menerusi beberapa hari operasi intensif.
"Pada 21 Februari lalu, Maritim Negeri Terengganu turut membuktikan kesiapsiagaan yang tinggi apabila berjaya menahan tujuh warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak di perairan Terengganu.
Tindakan pantas ini mencerminkan keupayaan Maritim Malaysia dalam menangani ancaman keselamatan strategik di perairan negara," katanya.