• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Maritim Terengganu Lupus Dua Bot Nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu melupuskan dua buah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kaedah hancur musnah dilaksanakan ke atas bot yang bawah 70 GRT (gross register tonnage).

Katanya, Pelupusan kali ini adalah merupakan siri yang kelima pada tahun 2023 membabitkan 12 buah bot.

“Bot yang dihancur musnah kali ini merupakan bot yang telah ditahan bersama 12 kru termasuk tekong pada tahun lalu di sekitar kedudukan 102 batu nautika dari Kuala Terengganu kerana didapati menceroboh perairan dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.

“Tindakan pelupusan itu diambil kepada mereka yang menceroboh perairan negara melalui kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Maritim Malaysia Negeri Terengganu sentiasa tegas dalam melaksanakan Undang-undang di perairan negeri Terengganu.

Khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.

Maritim Malaysia turut memohon kerjasama daripada masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.