• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Maritim Terengganu Tenggelamkan 108 Bot Nelayan Asing

KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu sehingga kini telah menenggelamkan sejumlah 108 bot dengan anggaran nilai RM162 juta, sebagai tukun di sepanjang perairan negeri.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan berkata, terbaharu pihaknya melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Redang.

Katanya, bot-bot tersebut telah ditahan melalui OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) KM Tok Bali, KM Tegas dan KM Gemia yang melibatkan 53 kru termasuk tekong.

“Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Pelupusan empat bot ini sebagai tukun tiruan merupakan tindakan tegas Maritim Malaysia memerangi pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam.

“Jumlah denda mahkamah bagi keempat-empat bot ini membabitkan denda keseluruhan RM4.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyaksikan proses pelupusan itu yang turut dihadiri Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.

“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

“Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT),” katanya lagi.

Sementara itu, Saiful Lizan turut menyeru kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlakon di perairan negara ke talian MERS 999.