• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Marzuki Sulong sekali lagi dipilih memegang tampuk Timbalan Presiden II Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) apabila memperoleh 32 undian berbanding pesaingnya, Mohd Sekanther Abdul Hamid yang memperoleh 24 undian.

Pemilihan tersebut menjadikan Marzuki melebarkan kepimpinannya sejak tahun 2000 dalam PBSNT. 

Beliau yang ditemui selepas Kongres Tahunan PBSNT 2020, hari ini menegaskan dirinya akan berusaha sebaik mungkin untuk memajukan bola sepak Terengganu bagi penggal baru ini.

"Alhamdulillah ini mandat baru yang diberikan dan kita akan berkerja secara berpasukan kita saling mengingati dan menghormati demi memartabatkan bola sepak negeri. Pada hari ini, kita boleh tengok kesinambungan bakat dalam Terengganu dengan ramai pemain anak negeri yang diserap ke pasukan lebih tinggi.

"Sejujurnya dalam bertanding ini, saya hanya meletakkan apa yang telah saya buat untuk pasukan Terengganu, saya telah cuba buat yang terbaik dan saya tiada niat menyakitkan hati sesiapa," katanya kepada media di Hotel Permai, di sini.

Jelasnya, persatuan turut sentiasa memartabatkan bekas-bekas pemain dalam pembangunan bakat-bakat baru bola sepak dan beliau menafikan dakwaan meminggirkan pemain-pemain lama. 

"Kita memartabatkan bekas pemain, itu matlamat kita nombor satu. Sebab itu, kalau kita tengok daripada jurulatih yang dipilih bagi Terengganu FC 2, 3, dan 4 terdiri daripada semua bekas pemain kita. Tetapi, kerana ramai, bukan semua dapat diberi peluang.

 "Saya tiada niat lain, saya akan buat yang terbaik dan saya minta maaf jika ada salah silap. Jika berjaya, anggaplah kejayaan ini kejayaan kita bersama," katanya.

 


Tag: