• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Masalah Air Bertakung Di Tebing Tembah Dalam Proses Penyelesaian



Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 3 Februari – Masalah air bertakung di jalan utama Kemaman –Dungun di Tebing Tembah kini dalam proses penyelesaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pihaknya dengan kerjasama jabatan berkaitan telah mengenalpasti punca masalah berkenaan.

“Masalah air bertakung ini berlaku terutamanya waktu hujan akibat sistem saliran yang kurang lancar dari longkang tepi jalan utama mengalir ke Sungai Paka.

“Kita mendapati longkang sempit dan juga kawasan longkang yang sedikit tinggi dari tanah rata menyebabkan air itu dan bertakung,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan bersama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi berkenaan.

Turut hadir Pegawai Daerah dan Tanah Dungun (PDD),  Anuar Awang dan Yang Dipertua (YDP) Dungun, Lizan Che Mat.

Menurutnya lagi, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan segera mengambil tindakan selanjutnya.

“Walaupun jalan tersebut merupakan jalan persekutuan, tetapi kita cuba menyelesaikannya dengan kadar segera demi kelancaran trafik yang menggunakan jalan itu.


Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, fasiliti dan kemudahan di Kolam Temesu, Taman Murni Perdana dan Kolam Mat Tagar juga dalam proses pembaikan.

“Walaupun terdapat lokasi lain yang lebih kritikal untuk dibaik pulih, tetapi kita akan mengutamakan juga penambahbaikan di kolam ini demi kemudahan penduduk Paka,” ujarnya.

Satiful berkata, beliau menyeru agar masyarakat setempat bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran kolam itu untuk menjamin keselesaan bersama.

Tag: