• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Masalah Dadah Kalangan Pelajar Perlu Ditangani Secara Serius

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Masalah dadah di kalangan pelajar perlu ditangani secara serius semua pihak termasuk kerajaan bagi memastikan agenda Transformasi Pendidikan Sekolah 2050 (TS 25) dapat dicapai Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, untuk itu kerajaan negeri perlu membentuk satu jawatankuasa bertindak yang lebih serius.

"Beri peruntukkan yang banyak untuk menangani kes ini supaya tidak menjadi satu barah. Kita tahu bagaimana Perang Candu di China boleh memusnahkan sebuah negara. Kita bimbang takut negeri dan negara kita suatu masa nanti akan dipenuhi oleh penagih dadah dan penagih-penagih dadah ini bukan sahaja melibatkan golongan yang tidak cerdik malah termasuklah pelajar-pelajar universiti.

"Jadi saya ingin mencadangkanlah disini kalau boleh ambil satu inisiatif dengan kapasiti kita sekarang ini sebagai kerajaan negeri dengan libatkan semua pihak untuk kita mencegahnya sebelum parah," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Ke Bawah DYMM Sultan Terengganu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darui Iman, di sini, semalam. 

Katanya, merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) penglibatan pelajar didalam masalah penyalahgunaan dadah terutama jenis 'Methaphetamine' atau pil kuda menunjukkan berlaku peningkatan yang sangat mengejutkan. 

"(Tahun) 2014, 6036 kes baru dicatatkan manakala tahun 2019 mencatat satu peningkatan luar biasa iaitu 16,154 kes seluruh negara termasuklah Negeri Terengganu. 

"Satu peningkatan yang sangat mengejutkan kita dan inilah pasaran-pasaran masyarakat, samada pasaran dalam pekerjaan ataupun didalam industri dimana remaja kita ini akan menempatkan diri mereka didalam pelbagai sektor sedangkan bina insan didalam diri mereka tidak menjadi,"ujarnya. 

Justeru katanya penglibatan semua pihak termasuk wakil rakyat, Majllis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) perlu memainkan peranan disamping AADK dan PDRM. 

"Dari segi kesungguhan semua pihak perlu diaktifkan dengan lebih serius. (Justeru) saya mengajak semua ahli dewan yang ada di sini daripada atas, pertengahan sampai ke bawah kita cuba serius dan turun padang dengan cara lebih tersusun untuk menangani kes ini, "katanya.

Diantara faktor berlaku hal demikian katanya 50 peratus daripada  27, 000 kes yang berlalu adalah disebabkan pengaruh rakan. 

"Sebenarnya dapat disekat pertamanya oleh ahli keluarga, oleh kerana keluarga yang ada dalam masyarakat kita ini pelbagai jenis pendidikan, cara dan gaya mereka anak dan sebagainya menyebabkan berlakunya kelompangan dalam kawalan (akhirnya) anak-anak terbiar bebas dan akhirnya terjebak masalah dadah, "ujarnya.

Tambah beliau, di sekolah proses kemenjadian murid selari dengan program TS 25 dilihat berkesan dan mencapai standard yang diingini dalam mendidik para pelajar kerana sarat disiplin dan penerapan nilai-nilai murni tetapi masalah berlaku apabila diluar sekolah.

Bagi menjayakan TS25 itu juga katanya perlu dibina hubungan diantara PIBG dan PIBK bagi memastikan kemenjadian murid yang bebas dari gejala buruk.


Tag: