• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Masalah Institusi Mahkamah Rendah Syariah Terengganu Dalam Perhatian

Oleh : Amiirullah Mansor 

DUNGUN, 18 Ogos- Masalah atau perkara berbangkit yang timbul di setiap Mahkamah Rendah Syariah Terengganu mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dengan menambahbaik kemudahan sedia ada dan sebagainya demi keselesaan pelanggan.

“Kebanyakkan bangunan mahkamah di negeri ini merupakan peninggalan daripada Pejabat Agama setiap daerah.

"Bangunan-bangunan dibina sejak tahun 70an dahulu, menyebabkan struktur bangunan yang lama ini perlu dibaikpulih untuk memenuhi keperluan dan keselesaan kepada masyarakat yang berkunjung ke mahkamah," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sidang media usai lawatan rangka kerja ke mahkamah-mahkamah setiap daerah di Terengganu. 

Menurutnya, kebiasaannya sebanyak 900 hingga 1000 kes setahun  melibatkan orang ramai yang menggunakan khidmat mahkamah ini. 

"Disebabkan struktur bangunan yang agak lama, banyak perkara yang timbul termasuk tidak mesra pelanggan OKU dan sebagainya," ujarnya. 

Jelasnya lagi, ada beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan antaranya struktur bangunan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

"Selain itu, pihak kami juga cuba untuk menyelesaikan keperluan yang mendesak seperti membangunkan mahkamah tinggi khususnya di Kemaman dan Besut," jelasnya. 

Dalam pada itu, Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang merangka lawatan kerja ke mahkamah di setiap daerah.

"Alhamdulillah, pihak kerajaan negeri dapat turun sendiri melihat keadaan dan isu-isu berbangkit yang berlaku di setiap mahkamah. 

"Terima kasih juga kepada pihak atasan kerana sentiasa memberi sokongan dan dokongan untuk kami menjayakan hasrat kerajaan negeri," ujarnya lagi.
 


Tag: