• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Golongan yang menderita dengan masalah kesihatan mental tidak wajar dilabelkan sebagai ‘orang gila’ orang masyarakat sekeliling.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kesihatan mental merupakan aspek yang jarang diambil perhatian dalam negara Malaysia.

Menurutnya lagi, terlalu banyak salah faham dan salah sangka kepada orang yang menghadapi keuzuran daripada sudut kesihatan mental.

“Lebih parah, apabila pesakit mental dikaitkan dengan iman yang tidak kuat di samping tidak diberi sokongan oleh masyarakat sekeliling lantaran menyebabkan masalah mentalnya menjadi lebih teruk.

“Walau bagaimanpun belakangan ini, kita melihat ada perkembangan yang positif berkenaan kesedaran kesihatan mental di Malaysia. Semakin ramai orang persendirian mahupun persatuan yang tampil menghulurkan tangan bagi membantu pesakit.

“Di pihak saya sendiri, isu ini juga menjadi fokus utama selaku ADUN Wanita dan sebenarnya ada saya selitkan mengenai kesihatan mental dalam Ucapan Perbahasan Titah Di-Raja dalam Sidang DUN yang lalu,’ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 (NHMS), sebanyak 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau pun masalah kesihatan mental.

“Ada pesakit yang tidak menyedari mereka menghadapi simptom masalah kesihatan mental kerana kurangnya kesedaran sama ada individu atau pun masyarakat sekeliling.

“Saya menyeru supaya lebih banyak banyak program kesedaran diadakan bagi mendidik masyrakat di samping mengikis stigma negatif terhadap pesakit,”ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia, kelmarin.

Zuraida turut menegaskan isu ini wajar diberi perhatian kerana ia akan memberi kesan kepada kestabilan keluarga dan juga rumah tangga.