• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Masalah Perparitan Tebing Tembah Dapat Perhatian

DUNGUN, 19 Disember - Pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosisal (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun.

"Saya berterima kasih kepada pihak perlombongan kuari Tebing Tembah kerana mengambil tanggungjawab dalam membaikpulih sistem perparitan dan membina benteng penghadang.

"Semoga langkah ini dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan ini dan memberikan kesejahteraan kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di kawasan parit tertimbun berkenaan bersama pengusaha projek kuari.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif CSR ini dapat memberikan impak positif dalam meningkatkan sistem saliran air dan mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.

"Langkah ini diambil untuk mengelakkan berulangnya kejadian banjir dan melindungi penduduk setempat dari risiko yang serupa di masa hadapan," ujarnya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati terutama ketika musim hujan, serta berharap agar masyarakat dapat bekerja sama dalam usaha pemulihan dan pencegahan bencana alam.


Tag: