• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Masjid Di Terengganu Akur PKP, Kembali Hadkan Bilangan Jemaah

KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak yang bermula hari ini, masjid-masjid di Terengganu mula melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan bagi Solat Jumaat di seluruh negeri, hari ini.

Pengurus Eksekutif Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu, Amir Sabri Abd Ghani berkata, pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan lalu banyak memudahkan pihak masjid.

"Kita memang ikut SOP daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) seratus peratus, kalau dilihat hari ini ada juga penguatkuasa, RELA dan pihak Polis membantu.

"Bagi solat fardu pula, hanya akan dihadiri oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid sepanjang PKP dan perkara ini telah dimaklumkan kepada qariah berdekatan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di masjid berkenaan hari ini.

Jelasnya, pihak masjid berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP ditetapkan sebagai sebahagian usaha mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Senarai jemaah hari ini kita dapatkan dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sekitar dan mereka akan buat penggiliran sepanjang tempoh ini.

"Memang kita tidak dapat lari daripada rungutan, jadi kita cuba menampung setakat mampu, namun kita tidak akan berkompromi dari segi SOP," katanya.

Pegawai masjid memeriksa nama jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.

 


Tag: