• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Masjid Seberang Takir Wujudkan ‘Ghobok Rezeki’ Bantu Ahli Kariah

KUALA NERUS, 22 Februari - Ahli Jawatankuasa Masjid Seberang Takir di sini mewujudkan ‘Ghobok Rezeki’ bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan hilang sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19. 

Pengerusi Masjid itu, Zakaria Dagang berkata, program tersebut akan memberi manfaat kepada golongan asnaf, individu, keluarga serta mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"'Ghobok Rezeki' adalah hasil sumbangan orang ramai yang berbentuk barangan mahupun duit untuk membeli bahan-bahan berkenaan yang akan diletakkan di almari di sini.

“Mana-mana ahli kariah yang memerlukan atau terputus bekalan boleh datang ke masjid dan berjumpa dengan jawatankuasa untuk kita agihkan," katanya.

Tambah Zakaria lagi, selain kaedah meminta mereka datang ke masjid untuk mengambil barang tersebut, pihak masjid akan menghantar ke rumah masing-masing bagi yang layak.

Terdahulu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan.

“Saya megucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh jawatankuasa masjid kerana inisiatif yang baik kepada masyarakat.

“Dalam masa yang sama, ia membuka peluang kepada masyarakat turut sama-sama menyumbang bagi menjayakan program ini,” ujarnya lagi.

Seorang penerima yang juga jemaah tetap, Haji Yusof, 83, dia gembira apabila pihak masjid memilihnya menjadi penerima pertama program berkenaan.

"Saya amat berterima kasih kerana semua pihak termasuk penyumbang kerana ia banyak memberi manfaat kepada golongan asnaf dan miskin, malah siapa sahaja yang terputus barangan keperluan," katanya.


Tag: