• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Masjid, Surau Disaran Solat Sunat Hajat


Ahmad Razif menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid pada Majlis Penyampaian Bantuan Moreh Kepada Masjid dan Surau Parlimen Kuala Nerus, di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, hari ini. Foto Harish Fadzillah Kasim 

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif menyeru umat Islam di negeri ini supaya mengadakan solat hajat dan bermunajat  bagi mendoakan keselamatan negara, khususnya Terengganu agar diberi perlindungan Allah SWT dari ancaman kumpulan militan.

Katanya, umum mengetahui di Selantan Thailand kini berdepan dengan ancaman musuh yang bertindak mengebom tempat-tempat awam, termasuk pasaraya sehingga menyebabkan puluhan penduduk tempatan meninggal dunia.

“Justeru, saya meminta semua masjid di negeri ini mengadakan solat hajat, terutama setiap kali  selepas solat Jumaat dan berterusan sehingga kemelut selesai,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Moreh Kepada Masjid dan Surau Parlimen Kuala Nerus, di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, baru-baru ini.


Ahmad Razif turut memberitahu, ahli  jawatankuasa masjid mahupun surau diminta sentiasa bergerak aktif  mengimarahkan masjid dan surau  dengan menganjurkan tadarus dan pelbagai aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan ini.

Katanya,  perlu mengajak golongan profesional, orang muda dan kanak-kanak untuk bersama-sama meraikannya agar Rumah Allah tidak sunyi dengan program keagamaan.

“Golongan muda dan kanak-kanak harus dibimbing menyertai aktiviti keagamaan supaya mereka tidak merasakan diri terpinggir.

“Pada masa sama mampu mendidik diri mereka ke arah kebaikan dan menjadikan amalan ke masjid sebagai tugas hakiki dalam kehidupan,”katanya  



Tag: