• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Masuk Kampung, Pandu Lalu Jayakan Vaksinasi

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Terengganu melaksanakan pelbagai strategi termasuk dengan masuk ke setiap kawasan pedalaman dan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu bagi meningkatkan kadar pemberian suntikan vaksin kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata pendaftaran vaksin di Terengganu menunjukkan peratusan yang baik iaitu sebanyak 56.2 peratus setakat kelmarin.

Katanya, Kuala Terengganu menunjukkan kadar pendaftaran tertinggi iaitu 63.8 peratus, disusuli Marang sebanyak 63.3 peratus dan Kemaman sebanyak 60.1 peratus.

Manakala, kadar yang telah menerima suntikan pula berada dalam keadaan yang baik iaitu 15.2 peratus.

"Bagi memastikan proses pemberian suntikan ini berjalan dengan baik, beberapa strategi telah dirangka iaitu meningkatkan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam sedia ada, kerjasama dengan UniSZA serta aktiviti 'Outreach' di kawasan kampung dan pedalaman," jelasnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam.

Tambah Dr Alias, antara stategi lain yang turut dirangka adalah dengan mengadakan kerjasama dengan 'General Practitioners' (GP), mewujudkan PPV masjid, mengoptimumkan klinik kesihatan dan membuka PPV awam serta PPV Industri.

"Strategi ini dijangka mampu untuk memberi suntikan kepada 390,000 orang sebulan, kita dapat mencapai kadar 80 peratus rakyat Terengganu yang menerima suntikan dalam masa dua bulan .

"Apabila kita telah mencapai kadar tesebut, diharapkan kita dapat hidup seperti biasa, tidak lagi disekat untuk mengadakan pelbagai program sosial," ujarnya.

Namun begitu katanya, semua itu bergantung kepada kita semua dengan mematuhi SOP, mendaftarkan diri untuk program vaksinasi serta mematuhi tarikh vaksinasi yang telah ditetapkan.

"Sekiranya semua pihak memberikan kerjasama, pelan pemulihan yang telah dirangka ini akan dapat dicapai mengikut masa yang telah dirancang selewat-lewatnya pada bulan November nanti kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa," ujar beliau.

 


Tag: