• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Masyarakat Dituntut Bantu PDRM Perangi Jenayah Scammer

SETIU, 30 Oktober -Penglibatan Masyarakat adalah sangat dituntut dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha memerangi perlakuan jenayah 'scammer' yang berlaku pada masa kini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata untuk mencapai angka sifar jenayah adalah mustahil apatah lagi melibatkan jenayah scammer ini.

"Namun masih ada ruang untuk memgecilkan kadar jenayah ini ke tahap paling minima.

"Masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dengan memiliki ilmu pengetahuan tentang jenayah penipuan ini menerusi pelbagai inisiatif oleh PDRM," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Town Hall Discussion Jenayah Scammer dan Pelancaran Taman Puterajaya sebagai taman angkat AMANITA Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di Dewan PPD Setiu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazli Mazlan berkata AMANITA atau skuad aman wanita ditubuhkan bertujuan memperkasakan penglibatan polis wanita dalam melaksanakan pencegahan jenayah.

"Maklumat-maklumat berkaitan jenayah boleh diperolehi dengan mudah kerana wanita khususnya suri rumah boleh membantu PDRM jika diberi tunjuk ajar bagaimana cara untuk mereka menyalurkan maklumat berkaitan",katanya.