• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Masyarakat Sambut Baik Kempen BPIS

Oleh : Aqilah Mohd Jafri

MARANG, 8 Februari – Kempen Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) yang digerakkan kerajaan negeri di sepanjang bulan Rejab disambut baik oleh masyarakat Terengganu di semua kawasan. 

Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Wan Ahmad Zuki berkata, kempen yang beliau sertai bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang dan Pusat Khidmat DUN Bukit Payong di Pasar Pekan Bukit Payong menerima respon positif.

“Kita berharap agar orang ramai sedar bahawa umat Islam pada hari ini tenat dan mereka yang ditemui menyambut baik usaha ini.

“Kempen ini mampu menyedarkan orang ramai untuk memperbaiki tiang agama iaitu solat, kerana ia dapat menjaga kesejahteraan masyarakat kita,” ujarnya lagi.

Dalam program itu, Ustaz Wan Zuki telah menyampaikan penerangan mengenai kepentingan penghayatan ibadah solat di samping sesi 'terjah' dan soal jawab kepada orang ramai mengenai solat.

Untuk rekod, kerajaan Terengganu telah menjadikan bulan Rejab sebagai BPIS bermula 2019 dan diteruskan sehingga kini sebagai rasional memupuk kesedaran kepada umat Islam khususnya mengenai kepentingan menghayati ibadah solat.

Peristiwa Israk Mikraj membuktikan tanda kebesaran kuasa Allah SWT dalam pensyariatan ibadah solat yang menghubungkan seorang hamba dan penciptaNya.

 


Tag: