lightning-solid
Berita :
Mayat Kanak-Kanak Lemas Ditemukan Enam Kilometer Dari Pantai Sauh
Mayat Kanak-Kanak Lemas Ditemukan Enam Kilometer Dari Pantai Sauh
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
6

KUALA NERUS, 11 Januari – Pencarian kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan ombak besar di Pantai Sauh, Batu Rakit di sini sejak Jumaat lalu berakhir apabila mayat mangsa ditemukan kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat Muhammad Zarif Mohd Hazahari, 5, ditemui sekitar jam 3 pagi hasil operasi pencarian dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu penduduk setempat.

Menurut beliau, mayat mangsa ditemukan terdampar di atas pasir pantai sebelum dibawa naik oleh pasukan penyelamat.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dihanyutkan ombak besar di Pantai Sauh. Kerjasama pasukan penyelamat dan penduduk kampung membolehkan mangsa ditemukan pada awal pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan laporan penuh berkaitan kejadian akan menyusul.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu, mangsa dipercayai berada di pantai berkenaan bersama ibu saudaranya serta beberapa kanak-kanak lain untuk bersiar-siar.

Difahamkan, selepas kira-kira setengah jam berada di kawasan pantai, mangsa dikatakan pergi ke gigi air sebelum secara tiba-tiba dihanyutkan ombak besar.


Tag :

Artikel Berkaitan