• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Tali Air

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Mayat seorang lelaki telah ditemui dalam keadaan terapung di tali air di Kampung Tetambah, Manir dekat sini semalam.

Mayat Syed Mohd Azmi Sikh Ismail, 39, dari Kampung Pujuk telah ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari etok dalam keadaan terlentang kira-kira jam 4.45 petang.

Menurut saksi, Muhammad Farid Aiman bin Yussof, 20, berkata, dia menjumpai mangsa ketika berpindah tempat mencari etok dari seberang tali air tersebut bersama rakan-rakan.

“Mula-mula saya cari di sana, apabila kurang berhasil, saya berpindah ke sini dan menjumpai mayat tersebut,” ujarnya sambil menunjukkan arah kawasan mayat tersebut dijumpai kepada pemberita.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohamad bin Jusoh, 52, berkata, dia ada ternampak motosikal mangsa di kawasan kejadian sejak petang semalam lagi.

“Memang biasa orang parking motosikal di sini untuk memancing, dan ia bukannya sesuatu yang pelik,” ujarnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.


Tag: