• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mayat Mangsa Lemas Pantai Kelulut Ditemui

MARANG, 27 Disember – Lelaki yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Kelulut pada 25 Disember ditemui hari ini.

Mangsa, Naim Hariri  Kamaruddin, 31, berasal dari Kuala Lumpur ditemui pada jarak kira-kira2.7 batu nautika dari Pantai Kelulut pada jam lebih kurang jam 9.00 pagi ini

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli dalam satu kenyataan berkata mayat mangsa telah disahkan oleh ahli keluarga. 

Katanya, mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat termasuk orang awam yang terlihat objek terapung di laut semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT)  di sekitar pantai Pantai Kelulut, Marang.

Beliau berkata, mayat Naim Hariri telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Maritim Malaysia masih meneruskan Operasi CARILAMAT bagi seorang lagi mangsa, dengan menggerakkan 20 anggota serta dua bot peronda dalam penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut.

Mangsa, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, anak tempatan Marang yang hanyut di Pantai Jambu Bongkok, Marang dua hari lepas masih belum ditemui. 

Muhammad Suffi berkata dalam kenyataan tersebut, pencarian hari ini diperluaskan kepada 10 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai lemas.

Operasi pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan turut dibantu masyarakat setempat.
 


Tag: