• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mayat Pertama Tiga Beradik Ditemui

HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat pertama kes lemas membabitkan tiga beradik ditemui jam 9.52 pagi ini.

Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dijumpai di dasar sungai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang dikenali sebagai  Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan perkembangan itu.

Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam.

Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam semalam.