• 26 Nov 2020 | 10 Rabiul Akhir 1442

Mayat Reput Ditemui Dalam Ladang Kelapa Sawit

 

HULU TERENGGANU, 13 November - Seorang lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian ditemui mati dalam pacuan empat roda Nisan Navara di ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong, petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 5 petang memaklumkan menemui lelaki itu dalam keadaan mereput di tempat duduk pemandu.

"Hasil siasatan awal di lokasi, pihak polis dapati mayat ini telah mereput dan dianggarkan hampir tiga minggu telah meninggal dunia. 

"Identiti mangsa telah dikenalpasti iaitu lelaki melayu berusia 31 tahun yang berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil dan mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya di sidang media di lokasi penemuan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Adli berkata pihaknya ada menerima  satu laporan oleh pemilik pacuan empat roda ini telah dilarikan dan siasatan untuk mengesan Navara tersebut telah dijalankan dan pada hari ini telah dijumpai dilokasi ini.

"Kenderaan ini dilarikan apabila pemiliknya bawa si mati ke Balai Polis Ajil tiga minggu lalu untuk diserahkan kepada pihak polis kerana terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.

"Si mati kemudiannya melarikan kenderaan ketika pengadu yang merupakan abang iparnya di dalam balai," ujarnya lagi.

Sementara itu, Yusoff Mat Noh, 60, yang menjumpai mangsa berkata pada mulanya dia menyangka pemandunya sedang berehat  pada kali pertama melihatnya pada hari Selasa lepas.

Katanya, kenderaan berhenti dalam ladang kelapa sawit ini merupakan perkara biasa sebab itu dia menganggap tiada apa-apa walaupun telah melihatnya ketika itu.

"Pada hari ini, setelah melihat kenderaan tersebut masih tidak bergerak, saya menghampirinya dan terkejut melihat lelaki berkenaan telah meninggal serta dihurung lalat. 

"Saya terus memaklumkan kepada kepimpinan kampung yang kemudiannya hubungi pihak polis," katanya.


Tag: