• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

MB Bangga Dengan Prestasi Atlet Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 September - Menteri Besar Terengganu berbangga dengan pencapaian dan prestasi cemerlang atlet negeri itu yang muncul naib juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu menutup tirai SUKMA 2022 dengan jumlah pingat melebihi sasaran awal apabila memperoleh 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

“Biarpun tidak menjadi juara keseluruhan, namun temasya kali ini, kontinjen Terengganu merangkul emas terbanyak sepanjang kejohanan SUKMA yang pernah kita sertai.

“Secara tidak langsung, kita berada di kedudukan kedua daripada keseluruhan negeri yang bertanding,” jelasnya.

Menurut Ahmad Samsuri, kejayaan itu hasil usaha semua pihak khususnya atlet, persatuan, jurulatih, bapa angkat dan jabatan angkat.

“Kejayaan ini juga hasil daripada berkat doa dan sokongan padu daripada semua rakyat Terengganu,” katanya.

Untuk rekod, di sebalik kemenangan di tempat kedua, Terengganu menghantar atlet lebih sedikit berbanding negeri kelompok atas yang lain.

Seramai 459 atlet dihantar menerusi 334 daripada 426 acara yang dipertandingkan, jauh lebih sedikit berbanding juara, Johor yang menghantar 688 atlet dan menyertai lebih banyak acara.

Wilayah Persekutuan pula 736 atlet, Sarawak (734) dan Perak (698).
 


Tag: