• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

MB Hadiahkan Plat TN50 Untuk PM


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan menghadiahkan nombor pendaftaran plat 'TN50' kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Sebagai menghargai cetusan idea Perdana Menteri yang membawa gagasan Transformasi Nasional 50 untuk hala tuju negara pada masa depan ini, saya akan menghadiahkan nombor TN50 kepunyaan saya kepada beliau,” katanya.




Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dialog TN50 Peringkat Zon Timur di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun, malam ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Lebih 1,000 hadirin di kalangan belia terutama mahasiswa dan penggiat persatuan belia seluruh Terengganu berhimpun di majlis itu.

Siri jelajah dialog TN50 yang diketuai Khairy itu digerakkan ke setiap negeri bermula Jumaat lalu dengan Sabah menjadi lokasi pertama diikuti kedua di Terengganu, Johor (3 Mac), Perak (8 Mac), Sarawak (11 Mac) dan seterusnya negeri lain yang akan ditetapkan masa kemudian.


Dialog bertujuan mengumpul aspirasi sebagai hala tuju anak muda dalam pelbagai bidang seperti sukan, pendidikan, pekerjaan, persekitaran, urus tadbir kerajaan, nilai-nilai murni dan kesihatan menjelang 2050.

TN50 sebagai program yang akan membawa ke arah pembangunan negara menjelangnya 2050, sebagai kesinambungan matlamat Wawasan 2020. 

Tag: