• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

MB Melawat Booth Karnival Kerajaan Terengganu

MB (dua dari kanan) melihat produk yang dipamerkan di Karnival Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera di Perkarangan Stadium Gong Badak.
KUALA NERUS - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa untuk melawat 'booth' pameran di Karnival Terengganu Maju, Berkat dan  Sejahtera bersama Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, 15 September.

Karnival itu dianjurkan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke 64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

Karnival yang diadakan di perkarangan stadium tersebut, dianjurkan oleh Menteri Besar Terengganu (Incorporated), sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu, bermula 14 hingga 16 September dikunjungi tidak kurang dari 6 ribu pengunjung dari seluruh negara.

Menteri Besar dalam buku cenderamata karnival itu menyatakan bahawa karnival berkenaan berkonsepkan 'Hari Bersama Pelanggan' antara jabatan dan agensi negeri dengan masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat tentang dasar, polisi, produk dan khidmat nasihat kepada golongan sasar dengan lebih berkesan dan efektif.

"Ia juga menjadi medium untuk membina jaringan hubungan," jelasnya. 


Sebanyak 28 buah anak syarikat kerajaan negeri mempamerkan produk masing-masing di karnival itu termasuk Terengganu Inc, TDM Berhad, Epic Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Golden Pharos Berhad, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), Terengganu Safety Training Centre Sdn. Bhd. (TSTC), GPQ Sdn. Bhd.


Chicken Cottege, Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd., Hartanah Terengganu Sdn. Bhd., PTB Unit Trust Berhad (ASDI), Husa Network Sdn. Bhd. (yang mengendalikan Siaran radio Manis FM), Primula Beach Hotel, Duyong Marina & Resort Terengganu, Permai Hotel Kuala Terengganu, Paya Bunga Hotel Terengganu, F-Kichen.

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pertima Terengganu Sdn Bhd, Syarikat Permint Granite Sdn Bhd (PGSB), Terengganu Agrotech Development Sdn Bhd (TADC), TTI Management Sdn Bhd, P-Excell Management Sdn Bhd, Cas Ligas Sdn Bhd dan  PMINT Urus Sdn Bhd.

Pada hari pertama (14 September), aturcara majlis bermula dengan Pameran, Busking, Sepetang Bersama Ustaz  Azhar Idrus (UAI) dan Ustaz Kamaruzzaman Abdullah (UKA).

Hari kedua (15 September) bermula dengan Pameran, Perasmian Karnival TMBS, Pertandingan Mewarna, Persembahan Qasidah, Santai Selebriti dan Pentas Otai.

Hari terakhir (16 September) acara bermula dengan Pameran dan Acara Ameerah. 


Tag: