• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

MB Terengganu Harap Rakyat Sahut Seruan

Dr. Samsuri bergambar bersama rombongannya dan pegawai pavilion.
SERDANG, 30 November - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membangunkan industri asas tani dalam Bajet Terengganu 2019 yang dibentangkan baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu adalah permulaan kepada pembangunan asas tani di negeri itu.

"Sekiranya kita mampu menghasilkan sesuatu yang bermakna, kita akan cuba mencari lagi pembiayaan untuk mengembangkan industri ini.
Dr. Samsuri ingin industri tani Terengganu berkembang luas.
"Ini kerana, ia bukan mengenai industri sahaja tetapi ia mencipta pekerjaan bagi rakyat Terengganu.

"Saya berharap rakyat dapat menyahut seruan untuk menjadikan sektor ini satu perniagaan dan kerjaya.

"Kerajaan akan mencari jalan untuk membantu rakyat melaksanakannya," katanya ketika ditemui pemberita di Pavilion Terengganu sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018, hari ini.

Beliau yang ditemani isteri, Tuan Faizah Ab Rahman turut melawat produk-produk hasil inovasi negeri sambil memberi sokongan kepada pengusaha yang terlibat.

"Saya percaya pengusaha yang terpilih teruja dengan pemasaran di sini.

"Gunakan ruang yang diberikan untuk mempromosi bukan sekadar perniagaan, tetapi bawalah nama Terengganu ke peringkat lebih tinggi ke seluruh negara dan antarabangsa," katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa
Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim dan timbalannya, Hilmi Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Norkhuzaini Ab. Rahman.






Tag: