• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

MB Umum Dana RM200 Ribu Bina Taman Rekreasi Teluk Pasu

Dr Samsuri bergambar bersama belia Teluk Pasu.

KUALA NERUS, 13 Mac - Taman Rekreasi yang menjadi tempat riadah dan penyatuan masyarakat bakal dibina di Teluk Pasu dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah melihat tapak cadangan untuk membangunkan taman itu yang berkeluasan hampir 1.6 ekar.

Beliau berkata, taman itu akan dibina secara berperingkat dan pihaknya bersetuju untuk memberikan peruntukan bagi memenuhi hasrat dan cita-cita masyarakat di situ.

“Kerajaan negeri meluluskan peruntukan awal sebanyak RM200,000 untuk urusetia tempat ini, supaya dijadikan asas dulu peringkat pertama.

“Kalau berjalan dengan baik, ada respon yang baik dan menjadi tempat tumpuan kepada rakyat, insyaAllah kita akan pertimbang untuk tambah peruntukan bagi mencapai apa yang dihasratkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke lokasi tapak cadangan Taman Rekreasi Kampung Teluk Pasu itu, di sini, hari ini.

Melihat peta lokasi tapak cadangan Taman Rekreasi Teluk Pasu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato’ A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Anuar Nik Mohamad Noor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim.

Ahmad Samsuri turut berkata, pemandangan indah yang terdapat di sekitar tapak itu juga sangat menarik dan unik.

Katanya, taman yang bakal dibina itu pastinya akan menjadi ikon baharu di Teluk Pasu dan secara tidak langsung turut menjadi destinasi pilihan pengunjung, sama ada dari dalam ataupun luar daerah.

“Suasana yang sangat menarik, saya tengok dengan ada sungai, tempat berteduh dan sangat santai.

“Saya percaya kawasan ini boleh menjadi tempat rekreasi bagi menyatukan sillaturahim dalam masyarakat di Teluk Pasu ini secara khususnya,” tambah beliau.


Tag: