• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MCT Angkat Imej Tasik Kenyir di Persada Dunia

HULU TERENGGANU, 21 Disember- Penganjuran Kenyir Monsoon Casting Tournament 2021 (MCT 2021) edisi ke-13 kali ini berjaya menghimpunkan seramai 352 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk dua peserta masing-masing dari Jepun dan Amerika Syarikat. 

Berkonsepkan "catch and release" program pertandingan memancing itu bertujuan memupuk kesedaran awam terutama peminat aktiviti memancing dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem dan biologi marin di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berharap, penganjuran MCT yang diadakan secara tahunan itu dapat menonjolkan lagi imej Tasik Kenyir bukan sahaja dalam kalangan rakyat negara ini, tetapi juga di persada dunia
melalui penyertaan peserta antarabangsa.

"Penganjuran acara berimpak tinggi sebegini sudah tentu memberikan banyak manfaat, terutama kepada pengusaha 'houseboat', pemandu bot Tasik Kenyir dan juga penduduk kampung yang turut mendapat limpahan ekonomi secara langsung kesan dari kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup MCT, semalam. 

Jelasnya, meskipun penyertaan kali ini terhad berikutan penetapan SOP yang ketat, penganjur masih berjaya menghimpunkan sebanyak 24 buah ‘houseboat’, 120 buah ‘car topper boat’ dan 30 buah kayak di Tasik Kenyir.

Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)  itu berlangsung selama empat hari dan turut melibatkan kerjasama dari Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Kesihatan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertehanan Malaysia (APM) dan pelbagai agensi lain.

 

 

 


Tag: