Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama kerajaan negeri telah mewujudkan Medan Selera D’Muara yang terletak di Kampung Hulu Takir untuk melonjakkan pembangunan di Muara Selatan.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata kewujudan Medan Selera D’Muara itu adalah untuk menempatkan peniaga-peniaga yang sebelum ini bertapak di Medan Selera Tanjung bagi membolehkan pembangunan ’promenade’ di Muara Selatan terlaksana.
“Kita perlu alihkan segera Medan Selera Tanjung disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan 'promenade' telah terbantut disebabkan kita gagal menyiapkan projek ini (Medan Selera D’Muara).
“Jadi, kita minta datang (berpindah) juga walaupun dalam keadaan sebegini bagi memberi ruang kepada pembinaan 'promenade' berkenaan.
“Kita tidak mahu dijadikan alasan oleh pihak kontraktor, kelewatan kita alih menyebabkan projek dikenakan denda yang kosnya akan ditanggung oleh kerajaan.
Beliau berkata demikian dalam satu ucapan ketika merasmikan majlis perasmian Medan Selera D’Muara, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis perasmian Medan Selera D’Muara itu tadi.
Rosli menjelaskan signifikan pembinaan ‘promenade’ itu dalam merealisasikan Kuala Terengganu sebagai ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ yang turut akan berfungsi sebagai penguraian trafik yang kini semakin serius di kawasan itu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak MBKT akan menyelesaikan segala kekurangan dan permasalahan dihadapi oleh peniaga-peniaga di medan selera yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM4,243,800 itu.
“Kita dapat tempat yang baru, orang yang pertama menduduki kawasan ini, pemandangan yang cantik.
“Tapi saya akui fasiliti di sini masih ada sana-sini yang saya sendiri pun rasa belum lengkap.
“Saya berjanji dengan bantuan kerajaan negeri, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan membuat ‘parameter grade’, ‘interlocking paving’ dan kita juga akan membuat sedikit lanskap bagi menyejukkan sedikit kawasan,” ujarnya.
Pihak MBKT juga akan memberi tumpuan yang lebih dalam menyelesaikan permasalahan dari segi ruang meletak kenderaan yang turut menjadi aduan daripada peniaga di premis tersebut, tambahnya.