• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Mek Awang Balik Kampung 1 Februari Ini

Program Mek Dan Awang Balik Kampung akan berlangsung bermula 1 Februari ini. Foto oleh Zulkifli CW Putra.

Program Mek Dan Awang Balik Kampung selama tiga hari bermula 1 Februari ini bakal dijadikan sebagai pembuka tirai Festival Peranakan Terengganu pada Ogos nanti.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT), Martin Tok berkata, program tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama dari dewan berkenaan.

Katanya, program tersebut bukan sekadar untuk pelancongan negeri namun ianya untuk menunjukkan solidariti antara penduduk setempat dan komuniti di kawasan tersebut.

"Program ini bukan hanya program pelancongan semata-mata tetapi untuk menujukkan persefahaman antara komuniti setempat dengan pelbagai kaum lain.

"Apabila mereka ini yang berada bukan sahaja di Malaysia namun dari luar negara seperti Australia, Hong Kong, Taiwan dan New Zealand balik kampung, kami berharap agar apabila pulang semula ke tempat mereka dan akan membawa nama Mek Awang ke sana,"


Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Mek Dan Awang Balik Kampung di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Turut hadir Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak.

Tambahnya, program tersebut mampu membantu pihaknya dalam mencapai visi yang dibawa.

"Pertamanya, pihak DPPCT dapat mewujudkan peluang perniagaan kepada peniaga setempat," katanya.

Dalam pada itu, Martin berkata Mek Awang kini sudah menjadi satu jenama yang makin dikenali selepas diperkenalkan DPPCT.

"Jenama Mek Awang kini sudah mula dikenali bukan sahaja dalam industri pelancongan. Contohnya saya baru pulang dari Singapura bagi menghadiri mesyuarat dengan Tourism Malaysia (TM) dan mereka amat berminat untuk mengetahui dan mengenali Mek Awang ini.

"Jadi TM Singapura sudah mengajak kami untuk melakukan pembentangan dengan pihak mereka," katanya.

Martin berkata, dengan perkembangan baik tersebut pihaknya menjangkakan lebih ramai pelancong Singapura mengunjungi Kampung Cina sempena Festival Peranakan Terengganu.

Tag: