• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

SETIU, 14 April - Pengurusan Masjid Mengabang Telipot, di sini mengambil pendekatan membantu insan memerlukan dengan mengadakan inisiatif 'menara rezeki'.

Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebuah bilik menara disediakan di masjid berkenaan bagi menempatkan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, garam, minyak masak, kicap dan susu itu yang boleh diambil oleh mereka yang memerlukan.

Katanya, selain golongan asnaf, penduduk dan bukan dalam kariah juga boleh mengambilnya jika memerlukan.

"Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, terutamanya dalam kalangan mereka yang terputus bekalan asas boleh mengambilnya tanpa bayaran.

“Tiada syarat khusus kepada yang memerlukan. Mereka hanya perlu mendaftar dalam buku yang disediakan sahaja selain menulis barangan yang ingin diambil.

“Ia mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk setempat. Cuma, apa yang kami harapkan ia menjadi kesinambungan meringankan beban insan kurang bernasib baik samada yang bujang dan berkeluarga,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Shafizi berkata, pengurusan masjid mengeluarkan tabung kewangan bagi membeli keperluan pembelian barangan keperluan itu, selain sumbangan dermawan yang prihatin.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan barangan juga amat dialu-alukan bagi membolehkan lebih ramai yang mendapat faedah dan manfaat daripada proram berkenaan.

"Malah, sambutan yang amat memberansangkan daripada individu dan penduduk amat membanggakan dan menjadi antara faktor kejayaan 'Menara Rezeki’ berkenaan," jelasnya.


Tag: