• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Menelusuri Ibrah Qurani Galak Penghayatan Terhadap Al-Quran

Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis

Dungun, 12 September –  Program Menelusuri Ibrah Qurani Siri 8.0 yang dianjurkan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) berupaya menggalakkan penghayatan yang lebih mendalam terhadap ajaran al-Quran.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, ia merupakan inisiatif berharga yang diharap dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat.

“Sekiranya kalam Allah itu dibakar atau dihapuskan, maka kita akan mengumpulkan penghafaz-penghafaz al-Quran untuk mencetaknya semula kerana dengan jaminan Allah S.W.T ia pasti terus terpelihara. 

“Kejayaan acara ini membuktikan komitmen semua pihak dalam mempromosikan kefahaman dan pengamalan ajaran Islam di kalangan masyarakat,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut di Masjid Jamek Paka, di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri masyarakat setempat, penggiat agama, para asatizah dan anak-anak tahfiz dari seluruh daerah Dungun.

Hadirin berpeluang mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan dari dua pentilawah terkenal iaitu Abdul Hadi Che Abdul Halim dan Syeikh Bilal Al-Hossyany yang memperdengarkan bacaan daripada Surah Al-Ankabut. 

Sementara itu, Wan Hassan turut mengajak mengajak umat Islam meletakkan lima asas dalam kehidupan seharian.

“Allah adalah matlamat kehidupan, Rasulullah S.A.W ikutan dan pemimpin kita, al-Quran adalah pedoman hidup, jihad jalan hidup dan yang terakhir mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi umat Islam,” ujarnya.


Tag: