• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Merdeka, Bukan Sekadar Bebas dari Penjajah

 

 

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Kemerdekaan  yang dikecapi hari ini merakamkan pahit getir usaha pejuang terdahulu dan semua pihak perlu mengambil peluang dan ruang untuk bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan supaya cara pemikiran yang tidak lagi terkongkong dek belenggu rantai ideologi songsang yang dibawa oleh penjajah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata tempoh 63 tahun kemerdekaan negara merupakan satu tempoh yang panjang, mengisarkan bagaimana sesuatu bangsa bangkit dari hanya merangkak, kini telah mampu berdiri gagah dan akhirnya memerintah negara dengan kaki sendiri.

Katanya, kemerdekaan yang dikecapi bukan bermakna bebas daripada penjajah semata-mata, malah mencakupi definisi yang cukup luas sama ada dari segi mental, fizikal dan spiritual.

“Justeru setelah 63 tahun kita merdeka, maka seharusnya seluruh warganegara tanpa mengira agama dan bangsa memiliki jiwa Malaysia yang mencintai negara setulus hati. Berfikir sebagai rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada gaya hidup dan pemikiran penjajah.

“Semestinya bukan satu kesalahan untuk menceduk ilmu dan nilai-nilai baik daripada mereka yang pernah menjajah negara kita, namun janganlah yang diambil itu perkara-perkara yang bertentangan dengan agama dan nilai yang kita pegang, apatah lagi mencemar addin serta identiti ketimuran.

“Dengan itu semoga kita akan lebih memahami betapa mengecap nikmat dengan sebaris kata MERDEKA itu bukanlah mudah, namun tukarannya adalah air mata dan darah para pejuang terdahulu termasuklah golongan ulama', cendiakawan, ilmuan dan orang-orang biasa berjiwa pahlawan,”ujar beliau  melalui hantaran media sosialnya, bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-63, hari ini.

Beliau turut mengimbas kembali sejarah di saat awal negara mencapai kemerdekaan, dimana memerlukan kompromi tiga kaum berbeza untuk berjiwa besar menerima Islam sebagai agama rasmi, hak-hak istimewa bangsa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu terlindung di bawah payung Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Zuraida lagi, pada ketika itu bangsa Melayu pula bertolak ansur untuk menerima bangsa-bangsa lain hidup aman dan damai serta mencari rezeki dengan pengiktirafan tinggi sebagai warganegara, berbeza dengan situasi Myanmar dan Brunei.

Justeru itu, Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda supaya mengkaji sejarah kemerdekaan negara dengan lebih mendalam, tidak terhad sekadar pengetahuan sejarah yang dipelajari di bangku sekolah.

Beliau turut mengingatkan supaya rakyat sentiasa bersyukur kepada Allah, yang telah mengurniakan kemerdekaan, kestabilan dan keamanan kepada Negara Malaysia.