KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – “Kemerdekaan sebenar bukan hanya bebas daripada penjajah, tetapi bebas daripada rasa curiga dan tembok yang memisahkan kaum,” demikian penegasan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 hari ini.
Beliau berkata, Jalur Gemilang yang berkibar megah tidak hanya lambang kebebasan daripada belenggu kuasa asing, tetapi juga simbol pengorbanan generasi terdahulu termasuk datuk dan nenek daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang bersatu hati memerdekakan tanah air.
“Hari ini kita melihat anak-anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain duduk belajar bersama, bekerja bersama, membina kehidupan bersama.
“Inilah wajah sebenar merdeka, apabila kepelbagaian menjadi kekuatan, bukannya perpecahan,” katanya.
Menurut beliau, kemerdekaan akan lebih bermakna sekiranya rakyat menghayatinya dengan menyemai perpaduan, menyuburkan kasih sayang, saling menghormati serta berani merobohkan tembok perbezaan.
“Kita mungkin datang daripada latar belakang berbeza, tetapi kita berkongsi satu tanah air, satu bendera dan satu destinasi masa depan,” ujarnya.