• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Mereka Berpindah Sebelum PPS Ditutup'

KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Semua mangsa banjir yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung La, Hulu Besut telah berpindah sebelum PPS tersebut diarahkan tuup oleh NADMA daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, PPS di seluruh negeri ditutup bagi menamatkan fasa bencana banjir gelombang kedua yang melanda baru-baru ini.

“Makluman telah disampaikan kepada mereka (mangsa) melalui notis bagi mencari rumah sewa dengan kos sewaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAIDAM atau kerajaan negeri.

“PPS perlu ditutup atau banjir gelombang kedua masih belum tamat walaupun air telah surut dan semua sudah pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertajuk ‘Mangsa Banjir Diarah Keluar PPS’ hari ini.

Dalam pada itu, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung La ketika dihubungi menjelaskan bahawa PPS ditutup setelah mendapati semua mangsa telah keluar daripada PPS tersebut.

“Kami diberitahu mangsa sekeluarga telah berpindah ke sebuah rumah sewa berdekatan rumah bapanya sebelum arahan penutupan PPS.

“Sebenarnya pihak JPKK ada menyediakan sebuah dewan kecil sekiranya ada mangsa yang tidak berjaya mendapatkan tempat tinggal pada tempoh ditetapkan. Jadi mereka bukan diusir keluar,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Akhbar tersebut menyebut sebuah keluarga mang­sa banjir mendakwa diarah keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La di sini, semalam walaupun rumah sewa yang didiami sebelum ini musnah pada 18 Disember lalu.

Terdahulu, Masjid Kampung La menjadi PPS terakhir dibuka di Besut apabila banjir gelombang kedua reda bagi menempatkan penghuni rumah yang dihanyutkan.


Tag: