• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Meriahkan Ibadah Dalam 'Mood' Raya

KUALA TERENGGANU, 11 Mac- Penganjuran Madinah Ramadan memberi peluang rakyat merasai kemeriahan ibadah dalam persediaan menyambut hari raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, itu adalah hasrat kerajaan negeri melalui pelaksanaan Madinah Ramadan dengan pengisian tazkirah, sembahyang berjemaah, solat sunat tarawih dan iftar percuma untuk pengunjung.

"Dengan harapan, penyusunan program ini akan mendekatkan rakyat Terengganu dan pelancong yang datang supaya tidak melupakan Allah SWT disamping datang membeli belah.

"Gabungan antara keperluan manusia atas material dan keperluan manusia kepada kerohaniannya mengikat mereka kepada Allah SWT," katanya ketika berucap pada Pelancaran Madinah Ramadan di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, malam tadi.

Madinah Ramadan yang dilancarkan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato'Yahaya Ali telah berlangsung sejak awal Ramadan dengan dihadiri ribuan pengunjung di lokasi berkenaan.

Yahaya berpendapat, program tersebut memberikan peluang rakyat merasai kemeriahan ibadah dan penghayatan syariah Islam yang syumul.

"Walaupun ibadah boleh dilakukan di mana-mana tetapi pelaksanaan secara amal jamaie yang akan memakmurkan Madinah Ramadan.

"Kita ini berada di pertengahan bulan Ramadan di mana kita masih berpeluang mengejar fadhilat dan kelebihan yang sangat lumayan yang dijanjikan Allah SWT.

"Marilah kita mengambil peluang dan kesempatan terbuka ini yang tidak mungkin didapati pada bulan yang lain," katanya.

 

 

 

 


Tag: