• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Mesin Adun Tepung Tingkat Jualan Kuih Pau

BESUT, 19 November- Warga emas, Minah Awang,70, amat berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ekoran sumbangan mesin pengadun tepung bagi membolehkannya meningkatkan pendapatan keluarga.

"Makcik sangat bersyukur dengan bantuan mesin ini. Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung disini yang sentiasa cakna akan penduduk yang memerlukan bantuan.

"Harap-harap lepas nie dapatlah tambah jualan kuih pau pelbagai inti yang makcik usahakan," ujarnya yang merupakan salah seorang daripada empat usahawan kecil di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang menerima sumbangan mesin.

Majlis sumbangan tersebut telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ke semua kediaman penerima dimana lokasi penyerahan terakhir adalah di Kampung Sentosa.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini yang juga merangkap ADUN Kota Putera berkata, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif daripada YPU untuk membantu usahawan mengembangkan lagi produk atau hasil jualan mereka. 

"Bantuan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan hasil jualan peniaga. Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para peniaga untuk terus maju dalam perniagaan yang diusahakan

"Sebenarnya bantuan yang mereka terima ini adalah melalui permohonan yang dibuat kepada YPU. Selain dari mesin penguli tepung, kita turut menyerahkan mesin 'steamer' dan juga mesin jahit kepada peniaga yang memenuhi syarat," ujarnya.

  


Tag: