• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Mesin 'Retort' Elak Pembaziran Makanan

KUALA TERENGGANU 25 September – Teknologi mesin ‘retort’ yang dilancarkan kerajaan berjaya mengelakkan pembaziran dan menggalakkan lebih banyak sumbangan makanan kepada individu memerlukan.

Mesin retort itu berfungsi untuk proses perawatan haba secara kombinasi tindakan suhu dan tekanan tinggi bagi membunuh serta memusnahkan kuman serta sporanya agar ketahanan produk menjadi panjang.

Produk yang sudah menjalani proses terssebut boleh disimpan dan dijual pada suhu biasa dengan tempoh penyimpanan sehingga dua ke lima tahun.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid berkata, penggunaan teknologi tersebut telah memanjangkan jangka hayat makanan bagi diagihkan kepada golongan sasar.

Katanya, hanya makanan yang baik dan tidak diusik akan dirawat pada suhu tinggi sekali gus memastikan keselamatan makanan kekal terjamin.

“Mesin ‘retort’ ini juga bertindak seperti mesin layan diri yang membolehkan makanan disimpan untuk tempoh lama dan menggalakkan sumbangan orang ramai kepada yang memerlukan terutama dalam pandemik Covid-19.

“Kebiasaannya apabila terlalu banyak makanan, kita risau akan dibuang hingga berlaku pembaziran dan di sinilah teknologi ini memainkan peranan,” katanya yang juga  Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Food Bank Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu secara dalam talian, hari ini.

Rosol turut memberitahu, difahamkan bahawa Persatuan Pandu Puteri Terengganu telah menubuhkan food bank di lokasi tumpuan termasuk berhampiran sekolah, masjid dan  taman perumahan di setiap daerah di negeri ini.

“’Usaha itu seharusnya menjadi titik-tolak kepada pihak lain untuk melaksanakan program sama agar sama-sama dapat membantu penduduk setempat, terutama yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19,” katanya.


Tag: