• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Minat Dari Kecil, Syarafina Kini Pelihara 40 Kucing Terbiar

KEMAMAN, 23 Januari - Minat yang mendalam terhadap haiwan peliharaan kucing membuatkan Nur Syarafina Jaafar, 37, kini memelihara hampir 40 ekor kucing terbiar di rumahnya di Taman Geliga Besar.

Syarafina berkata, minat tersebut hadir dalam dirinya yang mengikuti jejak bapanya dan beberapa orang ahli keluarga yang juga meminati haiwan peliharaan itu.

"Kami mengutip kucing sakit atau terbiar yang dijumpai di jalanan. Oleh kerana tidak sanggup melihat keadaan kucing yang terbiar di jalanan, jadi kami mengambil keputusan untuk memeliharanya. Bermula daripada 2 ekor, kini jumlahnya semakin bertambah sehingga hampir 40 ekor.

"Kami menyediakan beberapa sangkar di mana semua kelengkapan seperti makanan, minuman, pasir dan sebagainya disediakan sebaiknya. Seminggu sekali kita akan melepaskan kucing ini bermain di sekitar halaman rumah. Ia bagi memastikan kehidupan jiran-jiran tidak terganggu memandangkan kami tinggal di kawasan perumahan," ujarnya.

Beliau yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kemaman juga memaklumkan, lebih RM2,000 dibelanjakan setiap bulan bagi menanggung segala kos rawatan, makanan dan sebagainya untuk semua kucingnya itu.

"Walaupun banyak yang perlu dibelanjakan setiap bulan, namun begitu kami sangat gembira dan berpuas hati dengan apa yang dilakukan ini.

"Seperti mana yang kita tahu, kucing ini merupakan haiwan kesayangan Rasullah SAW. Insya-Allah, kami percaya kalau kita buat baik, akan ada kebaikan yang Allah SWT akan berikan kepada kita," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini.

Dalam pada itu, seekor kucing yang mereka sangat sayangi diberi nama "Comel". Kucing itu telah dipelihara sejak kecil sehingga kini berusia 18 tahun.

Syarafina tidak menolak kemungkinan jumlah kucing yang dipelihara oleh mereka sekeluarga akan bertambah pada masa akan datang.

Beliau turut mengharapkan suatu hari nanti akan ada satu tempat khas yang diwujudkan di Kemaman bagi memelihara kucing-kucing yang terbiar seperti itu. Jika wujudnya tempat khas sedemikian, tiada lagi kucing terbiar yang dibuang oleh sesetengah pihak di pasar, kedai makan dan sebagainya.

Syarafina dan keluarga juga turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang mengunjunginya menyampaikan sumbangan berbentuk beras dan barangan dapur kepada penduduk yang terkena banjir, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu sempat meluangkan masa melihat kucing-kucing peliharaan mereka dan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1000 bagi menanggung sedikit sebanyak kos yang perlu dibelanjakan pada kucing mereka itu.

 

 


Tag: