• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Minggu Al-Quds Dilancar Bebaskan Palestin Daripada Penjajah

KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Kerajaan negeri bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menganjurkan Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2024 demi mendokong perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada belenggu penjajahan zionis

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pada tahun ini ia telah memasuki tahun keempat ia dianjurkan dan diadakan secara serentak membabitkan lebih 30 buah negara serta 160 buah organisasi.

"Alhamdulillah untuk penganjuran kali ini kita bertuah kerana akan dibawakan delegasi para alim ulama dari luar negara, dari dunia Islam seperti Palestin, Yaman, Algeria, Mesir dan beberapa buah negara lagi yang akan menjayakan program ini dan kita telah susun jadual untuk kita turun ke setiap negeri.

"Kita fokuskan kepada beberapa negeri iaitu Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Melaka kita harap supaya seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia menyambut program ini yang akan kita hebahkan di media sosial," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Aid4Palestine.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di Pejabat Khidmat ADUN Batu Buruk di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palestin, Dr Ahmad Amir.

Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata program yang diadakan secara tahunan itu melibatkan seluruh segmen lapisan masyarat bersama ulama pada setiap minggu terakhir bulan Rejab bagi menyedarkan umat Islam tentang kepentingan Masjid al-Aqsa yang telah berlakunya peristwa besar Israk dan Mikraj.

"Saya telah berbincang dengan Dr Abdullah jadi kita telah mencapai persetujuan supaya ia dilancarkan di Malaysia (Terengganu).

"Kemuncak program nanti pada 9 Februari akan diadakan ceramah umum yang akan dihadiri oleh Tan Sri Abdu Hadi Awang dan pemimpin yang lain di perkarangan Masjid Rusila, Dewan Tok Guru," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, adalah menjadi hasrat penganjuran pada kali ini untuk menggerakkan media massa agar mengambil peduli isu Palestin bagi mengabungkan peranan pelbagai institusi secara strategik dan bersinergi.

"Mendorong para ulama untuk memimpin masyarakat dalam menyokong, mempertahankan dan menghidupkan semula isu ini di pelbagai negara serta mendidik rakyat berkaitan peranan mereka terhadap isu Palestin dan baitulmaqdis," ujarnya.

 

 


Tag: