• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mini Karnival Hari Lupus Sedunia 2024 Eratkan Komuniti Pesakit SLE

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Program Mini Karnival Hari Lupus Sedunia 2024 yang berlangsung di Kampung Budaya, Kompleks Muzium Negeri, berjaya menghimpunkan komuniti pesakit lupus dari pelbagai negeri termasuk Terengganu, Kelantan, dan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada penganjur, Persatuan Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) Malaysia Terengganu, serta pihak Kampung Budaya atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

“Program ini bukan sahaja bertujuan menghimpunkan pesakit lupus, tetapi juga menyediakan platform bagi mereka untuk bertukar pandangan, maklumat, dan pengetahuan dalam menghadapi penyakit lupus.

“Ini adalah penyertaan saya kali ketiga bersama Persatuan SLE Malaysia Terengganu dan saya ucap terima kasih dan tahniah kepada pihak persatuan atas penganjuran dan kerjasama untuk menghimpunkan semua komuniti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Mini Carnival World Lupus Day Explorace 2024 bertempat di Kampung Budaya, Kompleks Muzium Negeri di sini semalam.

Wan Sukairi turut menegaskan bahawa program seperti ini amat penting dalam memberikan sokongan moral kepada pesakit.

"Dengan adanya program sedemikian, ia dapat mencetuskan perasaan yang baik dan memberikan semangat luar biasa kepada mereka yang menghidapi penyakit tersebut serta memastikan mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan.

“Saya berharap agar program-program seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan dan kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif sebegini,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan pesakit dengan penyakit lain untuk mewujudkan persatuan yang sama agar mereka dapat saling berhubung, bertukar pandangan, dan ilmu dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Sementara itu, Penasihat Persatuan SLE, Dr Siti Mariam Ab Rahim berkata penyakit SLE merupakan penyakit autoimun kronik yang kebiasaannya menyerang wanita berusia antara belasan hingga 50 tahun.

"Penyakit ini boleh menyerang mana-mana organ dalam badan, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuk organ dalaman dan otak.

"Di Terengganu, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, lebih kurang 500 kes telah direkodkan setakat ini dan jumlahnya meningkat setiap tahun," tambah beliau.

 


Tag: