• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Mintah Hatrik, Terengganu FC II Kekal Rekod Tanpa Kalah

KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi pusingan pertama Liga Premier 2021 apabila menang selesa 4-1 ke atas Kelantan United FC (KUFC), sebentar tadi.

The Turtle melayan kunjungan KUFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) cemerlang meledak empat gol dengan Jordan Mintah mencetak hatrik pertamanya musim ini.

Penyerang kelahiran Ghana itu mencetak gol melalui sepakan penalti pada minit keempat sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-31, juga melalui penalti.

Tuan rumah yang selesa di depan bagaimanapun dikejutkan pelawat pada minit ke-40 apabila Alfusainey Gassama mencetak gol untuk KUFC merapatkan kedudukan.

Memasuki babak kdeua perlawanan, anak-anak buah Akira Higashiyama cuba bangkit, namun dinafikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali.

Jaringan Argrim Redzovic menerusi sepakan percuma pada minit-55 dan penyudah sempurna Mintah melalui sepakan lencong pada minit ke-69 melengkapkan kemenangan Terengganu FC II.

Keputusan kekal 4-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.

The Turtle menutup pusingan pertama dengan tujuh seri dan tiga kemenangan kini berada di tangga ketiga liga dengan 16 mata.

 

 


Tag: