SETIU, 20 September – Penganjuran pertandingan ‘ayam sorok’ yang menguji keunikan kokokan unggas membuktikan kepelbagaian hobi masyarakat tempatan, sekali gus menyemarakkan lagi Program YB Cakna Komuniti di Unit Daerah Mengundi (UDM) Kerandang, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, acara mesra alam dan komuniti itu secara tidak langsung menggantikan aktiviti penganjuran laga ayam yang tidak lagi wujud di kawasan berkenaan.
Jelas beliau, format pertandingan itu menyaksikan ayam jantan diletakkan di atas tiang pancang kayu dan hanya berkokok sebaik sahaja mendengar panggilan atau suara tuannya.
"Setiap hobi ada peminatnya yang tersendiri. Di Jabi, pertandingan laga ayam sudah tiada dan kini digantikan dengan acara yang lebih berfaedah seperti pertandingan ayam sorok ini.
"Penilaian markah diberikan berdasarkan kualiti dan kemerduan kokokan ayam tersebut. Walaupun pada pendengaran orang ramai bunyinya seakan-akan sama, namun bagi penggemar tegar, setiap kokokan ada keunikannya yang tersendiri," katanya selepas menyaksikan pertandingan tersebut di Kampung Jebak Puyuh, di sini.

Dr Azman turut menyangkal sebarang tanggapan negatif terhadap penganjuran aktiviti berkenaan dengan menegaskan ia dijalankan mengikut batas hukum dan undang-undang.
"Acara ini langsung tidak mengandungi unsur perjudian atau pertaruhan wang. Paling penting, tiada sebarang unsur penganiayaan terhadap haiwan sepanjang pertandingan ini dijalankan.
"Ia hanyalah sebahagian daripada pengisian aktiviti riadah bagi mendekati masyarakat dan menyatukan komuniti setempat menerusi saluran yang positif," katanya.