• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Misi Hulur Bantuan COVID-19 Di Felda Kerteh

KEMAMAN, 9 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dan Chukai turun meninjau keadaan mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 dengan diiringi pegawai-pegawai dari Ketengah dan Pejabat Daerah Kemaman serta Dungun, semalam.

Penularan wabak di Felda Kerteh 1, 4, 5, 6 dan Ketengah Jaya yang kian meningkat sudah masuk ke fasa dua. Sebanyak lima buah kampung berisiko akibat daripada kluster Makekar baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat turun padang memberi bantuan barangan kering dan basah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini sebanyak 400 lebih buah keluarga yang menerima bantuan tersebut bagi fasa satu, kali ini fasa dua pula sebanyak 932 buah keluarga. Anggaran kesemua kos berjumlah kira-kira RM130,000 di mana RM100 setiap keluarga.

Di bawah DUN Kemasik yang terlibat iaitu Kerteh 5 dan 6, Ir. Saiful Azmi Suhaili telah menghantar bantuan barangan keperluan kering dan basah juga di mana sebanyak 71 orang untuk Kerteh 5 serta 166 untuk Kerteh 6.

Pihak Ketengah juga turut menghulurkan bantuan barangan basah seperti ayam pada fasa yang kedua ini.

Di Felda Kerteh 1, Dewan Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya 2 dijadikan pusat punggahan barang-barang dapur untuk diagihkan kepada penduduk yang memakai gelang kuarantin di rumah mereka masing-masing.

Barangan akan disusun dan diuruskan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama sukarelawan, selepas itu terus dihantar ke lorong-lorong kampung untuk disambut oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Manakala Pusat Operasi Saringan berada di pekarangan Masjid Felda Kerteh 1. Di sini mereka akan membuat ujian saringan bagi mengetahui keputusan positif atau negatif.

Pesakit positif akan terus dihantar kuaratin di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Kemaman. Kontak rapat pula akan dikuaratin di rumah masing-masing.

"Orang ramai tak perlu panik, kerana barangan mencukupi dan perlu ikut arahan yang diberi oleh kerajaan serta pihak KKM untuk dipatuhinya," kata Hanafiah.

"Dalam masa empat hari sekali, barangan keperluan akan dihantar rumah ke rumah oleh pihak sukarelawan," katanya lagi.


Tag: