• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Moratorium Untuk Pengusaha Bas, Teksi

PUTRAJAYA, 31 Mei - Kerajaan pusat akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion selewat-lewatnyanya minggu ini melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui skim itu pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Katanya, kerajaan menyarankan agar agensi dan syarikat menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan. 

"Pihak MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021.

"Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium. 

"Manakala usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai  2021," ujarnya.

Muhyiddin berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama satu bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan.

Jelas Muhyiddin, kerajaan akan menanggung kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan yang memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan.

"Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021. 

"Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran," tambah beliau.

 


Tag: