• 26 Okt 2021 | 19 Rabiul Awal 1443

MOSTI Tawar Pemula Niaga Bantu Kawal Perairan Negara


Oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengalu-alukan pemula niaga dalam sektor teknologi untuk bekerjasama membantu mengawal perairan negara yang terancam dengan kehadiran nelayan asing.

Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya membuka ruang kerjasama itu bagi penggunaan teknologi dron atau UAV melalui syarikat startups di bawah MAGIC untuk membantu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kami mengalu-alukan mana-mana 'Start-Up Technology Company' yang mempunyai kelebihan bidang ini untuk membantu penguatkuasa dalam menjaga perairan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Lawatan Rasmi Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said ke APMM Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah APMM Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Selain itu katanya, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut menawarkan perkhidmatan pencerapan melalui satelit bagi mengesan lokasi tumpuan berlakunya pencerobohan nelayan asing.

Terdahulu, Amzad melakukan tinjauan udara dengan menaiki pesawat Bombardier CI-415 milik APMM di sekitar perairan negara bagi melihat sendiri kaedah penundaan bot nelayan asing ke Pengkalan Maritim Kuala Terengganu.

 


Tag: