• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

MOSTI Terbuka Terima Cadangan Lokasi Baru PDF Lynas

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang berhubung lokasi baharu Tapak Pelupusan Kekal (PDF) Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, Menteri, Khairy Jamaluddin dan beliau sendiri akan turun melawat kawasan yang dikenal pasti untuk menjadi tapak PDF bagi memindahkan sisa penulenan air larut lesap (WLP) di Pahang.

"Berkaitan isu Lynas yang telah dibangkitkan oleh YB (Yang Berhormat) Kuantan, YB Puan Fuziah Salleh yang berkait dengan lokasi PDF, Menteri dan saya sendiri akan melawat lokasi PDF Lynas secara fizikal sebaik sahaja sidang Parlimen selesai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menilai kesesuaian kawasan lain dalam membangunkan PDF bagi menampung operasi Lynas.

Katanya, beberapa cadangan lain rentetan isu pembangunan tapak PDF Lynas yang diberi 'lampu hijau' untuk dibina dalam kawasan seluas 202.35 hektar di Bukit Ketam itu akan turut diambil kira dan diperhalusi secara lebih lanjut.

Bagaimanapun, katanya, Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap pembangunan tapak PDF dalam kawasan sedia ada akan tetap diteruskan, sementara menanti penilaian lanjut daripada jawatankuasa khas terbabit.

Penubuhan jawatankuasa bagi menilai kesesuaian tapak lain PDF Lynas itu timbul susulan celahan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang membangkitkan risiko pencemaran bekalan air mentah, memandangkan kawasan pelupusan berkenaan bakal dibina dalam zon tadahan air.

Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lima kawasan dikenal pasti untuk menjadi tapak PDF bagi memindahkan sisa WLP di Pahang.

Lima tapak itu antara lain terletak di kawasan bekas lombong emas dan bijih besi masing-masing di Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.


Tag: