KUALA TERENGGANU, 1 Ogos – Terengganu memperluas penglibatan dalam sektor huluan petroleum menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tredwell dan Weatherford Company.
MoU itu membuka laluan kepada syarikat tempatan dan tenaga kerja anak Terengganu untuk menyertai rantaian industri minyak dan gas bernilai tinggi yang memerlukan teknologi canggih serta kepakaran khusus.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerjasama itu mampu meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat tempatan.
Menurutnya, Tredwell memiliki kepakaran dalam penyelenggaraan telaga minyak, manakala Weatherford Company merupakan syarikat antarabangsa yang menghasilkan peralatan dan teknologi canggih untuk industri petroleum.
“Kerajaan negeri menyambut baik pemeteraian MoU ini kerana ia membuka ruang kepada syarikat anak Terengganu untuk terlibat secara lebih aktif dalam sektor huluan petroleum.
“Kita mahu kerjasama ini direalisasikan supaya lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan dapat dinikmati anak Terengganu,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam.

Katanya, perkembangan industri itu juga perlu memberikan manfaat nyata kepada syarikat tempatan dan rakyat negeri ini.